Doa dan Amalan untuk Mendapatkan Zuriat
Anak adalah anugerah dari Allah bagi setiap pasangan suami isteri.
Pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat telah diambil namun, tidak semua pasangan suami isteri yang berjaya.
Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga hari tua mereka.
Sebagai orang Islam kita perlu berusaha dan tawakal kerana setiap yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.
Bagi pasangan suami isteri yang masih/sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat, kami di jomvitamin.com ingin berkongsi doa dan amalan untuk mendapatkan zuriat seperti yang pernah dicadangkan oleh Ustazah Siti Nor Bahiyah.
Islam sememangnya memberi panduan dengan memberi tips atau doa yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.
-
Bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.”
-
Bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.”
Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Al-Imran tadi untuk mendapat zuriat.
Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak.
Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t.
Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat
Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.
Amalan pertama
- Selepas Fajar ataupun Solat Subuh.
- Baca Bismillah 1 kali.
- Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
- Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali.
- Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan.(Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hambamu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat).
- Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.
- Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.
Amalan kedua
- Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan jimak.
- Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
- Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
- Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.
- Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.